Pandangan Rustam

Sewaktu Suhakam baru-baru ini mengumumkan bahawa Mahathir Mohamad merupakan salah seorang pemidato yang diundangnya untuk berucap pada majlis pembukaan Persidangan Hari Hak Asasi Manusia, saya benar-benar berasa musykil. Tidak adakah orang lain di negara ini yang lebih kredibel daripada bekas PM itu untuk bercakap tentang mauduk tersebut. Bagi saya, Mahathir bukan sahaja tidak memahami erti gagasan “hak asasi manusia”, malah dia tidak akan segan silu menodainya.

Banyak alasan yang terlintas di fikiran saya. Apakah Mahathir dipilih karena kebanyakan para pesuruhjaya Suhakam merupakan orang-orang yang terlantik pada waktu pemerintahan Mahathir – oleh itu mereka semacam terhutang budi kepadanya. Atau, apakah sesungguhnya Suhakam sendiri tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan “hak asasi manusia”, dan kerana itu tidak menyedari bahawa zaman pemerintahan Mahathir itu penuh dengan pelbagai bentuk pernodaan hak asasi manusia.

Mujurlah tindakan Suhakam itu tidak disenangi oleh lebih 30 buah badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini. Badan-badan itu bukan sekadar mengkritik Suhakam kerana tindakannya itu, tetapi juga telah mengancam akan memboikot majlis pelancaran persidangan itu. Antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh badan-badan tersebut, saya mendapati kenyataan Aliran yang ditandatangani Presidennya, P. Ramakrishnan, merupakan kenyataan yang paling mantap.

Kenyataan yang berjudul “Remember the human rights yang have trampeled, Tun Mahathir?” itu telah menyenaraikan segala pernodaan hak asasi manusia yang telah dilakukan Mahathir selama pemerintahannya – dari Operasi Lalang, pelbagai penerapan ISA, aksi jahat polis, hinggalah kepada tindakan yang diambilnya terhadap Anwar Ibrahim. Sayang sekali Suhakam yang kita harapkan untuk mempertahan hak asasi manusia di negara ini tidak menyedari semua ini.

Demikianlah sifatnya Suhakam: Harapkan pagar, pagar makan padi!

Meskipun terdapat bantahan yang begitu lantang terhadap penyertaan Mahathir, namun Suhakam tetap tidak berganjak pendiriannya. Demikianlah juga Mahathir: dia tetap bersekeras mahu terus menyampaikan ucapannya. Malah dia menggunakan alasan “hak asasi manusia” untuk mempertahankan haknya menyampaikan ucapan tersebut – dan dia menuduh pihak-pihak yang menentang penyertaannya itu sebagai mencuba merampas hak asasinya pula. Memang terasa lucu sekali melihat Mahathir bercakap tentang hak asasi manusia – namun tidak harus dilupakan bahawa beliau adalah pelopor gagasan “Malaysia boleh!”

Bila Mahathir beria-ia seperti itu, saya mulai berasa syak. Mesti ada sesuatu yang hendak dilakukan oleh Mahathir di luar jangkaan orang lain, termasuklah pihak NGO yang membantah penyertaannya itu. Mahathir bukanlah seorang ahli politik yang tindak tanduknya berasaskan ideologi maupun prinsip – dia lebih merupakan seorang yang bertindak berasaskan taktik, demi kepentingan dirinya. Misalnya, meskipun hari ini Mahathir mengkritik langkah Amerika Syarikat di Iraq, namun sewaktu Perang Desert Storm yang pertama dahulu Malaysia di bawah pimpinan Mahathir merupakan salah sebuah negara yang menyokong langkah AS.

Segala tindak-tanduknya berdasarkan kepentingan pada waktu-waktu yang berkenaan, bukannya berdasarkan sebarang pegangan atau prinsip yang menentang pencerobohan sebuah kuasa besar terhadap sebuah negara kecil.

Setelah Mahathir menyampaikan ucapannya di majlis Suhakam itu barulah kita dapat menyelami tujuannya. Dalam ucapan tersebut Mahathir telah menyerang apa yang dianggapnya sebagai sikap kepura-puraan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain. Kuasa-kuasa besar itu bukan sekadar menceroboh negara lain, tetapi juga menceroboh hak asasi manusia penduduk negara Iraq di beberapa tempat penderaan yang khas. Dengan kenyataannya itu, Mahathir jelas berusaha untuk memperlihatkan bahawa reputasinya sendiri sebagai penoda hak asasi manusia tidaklah seburuk mana.

Kerana ada orang yang lebih buruk daripada dirinya, maka dia menganggap keburukannya itu sebagai sesuatu yang halal atau dapat dihalalkan.

Caranya Mahathir melemparkan tuduhannya tentulah agak menjengkelkan – sehingga Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia yang menghadiri majlis itu berjalan keluar meninggalkan majlis itu bersama-sama dengan dua orang duta negara lain. Ditanya tentang peristiwa itu, Mahathir menjawab dengan jawapan putar belitnya yang biasa: “Saya ada hak untuk berucap, dan mereka ada hak untuk tidak mendengar saya.”

Pada hemat saya, Mahathir tentulah berasa senang dengan apa yang telah dapat dilakukannya: memperlihatkan keberaniannya mengkritik negara-negara kuasa besar seperti AS dan UK yang pada waktu ini tidak begitu disenangi oleh rakyat negara ini kerana “perang melawan keganasan” yang khusus ditujukan terhadap orang Islam. Lebih penting daripada itu, dengan langkahnya dan reaksi para duta Barat itu, Mahathir telah meletakkan para NGO dan para pejuang hak asasi pada keseluruhannya dalam keadaan yang serba salah.

Terdapat dua jenis para pejuang hak asasi di negara ini. Satu jenis terdiri daripada mereka yang dipengaruhi oleh pemikiran Barat tentang hak asasi dan demokrasi. Satu jenis lagi terdiri daripada mereka yang bersimpati dengan orang Islam yang menjadi mangsa tindakan tidak berperi kemanusiaan oleh kuasa-kuasa besar itu. Dengan mengkritik tindak-tanduk kuasa-kuasa besar itu Mahathir telah meletakkan dirinya di barisan depan dalam perjuangan kedua-dua golongan tersebut.

Oleh kerana Mahathir telah mengkritik kuasa-kuasa besar itu dan perwakilan negara kuasa-kuasa besar itu pula mengkritik Mahathir, maka golongan-golongan yang menghentam Mahathir kerana rekodnya – baik mereka yang memperjuangkan demokrasi maupun bersimpati dengan Islam – kini sudah hilang sengatnya dan tumpul taringnya. Demikianlah liciknya permainan politik putar belit “bekas” PM yang bernama Mahathir Mohamad itu. Meskipun dia bukan seorang yang bersimpati terhadap gagasan “hak asasi manusia” dari segi prinsipnya, namun dia dapat mencuri landasan perjuangan mereka yang benar-benar memperjuangkan hak asasi manusia.

Dengan menggunakan “credential” baru yang diperolehnya sebagai pejuang hak asasi manusia, selepas ucapannya itu Mahathir malah memperoleh keyakinan diri untuk mengulang-ulang dakwaan lamanya yang tidak mempunyai bukti tentang Anwar sebagai seorang “gay”. Hakikat bahawa segala pertuduhan yang telah diinisiatifkannya itu sudah ditolak sepenuhnya oleh mahkamah yang lebih tinggi dalam suasana kehakiman yang sedikit lebih bebas tidak menjadi soal kepadanya.

Malah dengan muka selamba dia mendakwa bahawa Anwar telah memperoleh layanan sewajarnya dari sistem kehakiman yang tiada celanya – dan dibela pula oleh enam orang peguam yang hebat. Bila ditanya tentang pendangan dunia yang tidak memihak kepadanya, Mahathir secara mudah – dan tanpa bukti – menuduh semua wartawan yang membela Anwar itu sebagai “gay” juga. Tentang kejahatan Ketua Polis Negara, tentang kecacatan para hakim, tentang pertuduhan yang cacat dan diada-adakan – dia berlepas tangan dan mengaku tidak tahu, juga dengan muka yang selamba.

Seorang teman saya yang berasa jengkel dengan sikap Mahathir itu menyatakan kepada saya bahawa dia yakin bahawa “orang tua ini sudah nyanyuk.” Namun saya tidak bersetuju dengan beliau – walaupun saya sedar bahawa umur Mahathir sudah melewati 80 tahun. Menurut pandangan saya, ini adalah sahsiah Mahathir yang sebenarnya pada sebarang umur, maupun sewaktu umurnya 20 tahun! Hanya rakyat Malaysia yang tidak pernah menyedari hakikat ini.

dari Siasah, Bil. 04, 16 September 2005

KeadilanRakyat.org : Rustam: Helah Mahathir Menjadi Lagi