Oleh Idi Aidit
Sepanjang kempen pemilihan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) baru-baru ini, pihak media – dari dalam dan luar negara – telah terjebak dalam perangkap permainan kata-kata. Tajuk-tajuk berita serta analisis dipenuhi dengan perkataan-perkataan “liberal”, “progresif” dan “konservatif” dalam usaha wartawan menghidupkan rencana mereka mengenai pertembungan dua kumpulan dalam PAS.
Kalimat-kalimat sedemikian lebih banyak mengelirukan daripada menjelaskan suasana sebenar kedudukan dan pendirian PAS sebagai parti yang tidak pernah mengubah pendiriannya sejak ditubuhkan pada 1951, iaitu Islam sebagai dasar dan hukum serta panduan parti adalah Al-Quran dan Sunnah (serta ijma’ ulamak dan qiyas).
Dalam konteks ini, sama ada perkataan “Negara Islam” digunakan dalam persembahan ceramah politik atau sebagai dokumen awam, atau tertera sebagai simbol dalam hati setiap pemimpin atau ahli parti, ia merujuk kepada perlembagaan PAS yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai asas perjuangannya. Jika pimpinan PAS hari ini berhasrat mengetepikan Dokumen Negara Islamnya yang dikemukakan kepada umum pada 2003, ia tidak bererti parti Islamis itu mahu menolak Negara Islam.
Bertolak dari hujah ini, persoalan sama ada pimpinan semasa PAS sudah berubah pendirian, ideologi atau kepercayaan tidak timbul sama sekali. Walaupun ada percubaan untuk mengiyakan kedudukan ini – seperti mendakwa bahawa muka-muka baru pimpinan PAS berpendidikan sekular, berusia di bawah 40 tahun dan tidak jumud – ia tidak memberi jaminan sedang berlaku proses perubahan ideologi.
Jika diambil contoh pemimpin bekas Uni Soviet, Mikhail Gorbachev, yang cuba mengubah rupa ideologi Marxist-Leninist kepada bentuk demokrasi sosial yang mirip kepada Eropah Barat pada akhir 1980-an, setidak-tidaknya usaha itu jujur dalam satu eksperimen yang mahu “memanusiakan” semula komunisme yang sekian lama membunuh jiwa dan raga insan serta penuh dengan sejarah berdarah. Malah, walaupun bukan niat Gorbachev berbuat demikian, glasnost dan perestroika yang dibawakannya telah membuka gerbang yang dilanda ribut kebebasan dan demokrasi yang menghancurkan sama sekali empayar komunisme itu yang ditegakkan sejak 1917 di Rusia.
Jika dibandingkan secara kasar sekali pun, perubahan ini jauh sekali dari suasana dalam PAS sekarang yang tidak memberi sebarang tanda-tanda reformasi dalam perjuangannya, iaitu:
* PAS masih terikat dengan struktur kepimpinan ulamaknya yang tidak muktabar (sekurang-kurangnya jika dinilai di segi ilmu-ilmu yang lain dari fiqh tradisi) serta lebih bersifat lebai kampung daripada sarjana – satu lagi terjemahan media yang tidak tepat untuk perkataan “ulamak”, iaitu religious scholar atau religious expert;
* PAS masih di atas persimpangan, sama ada mahu menjadi gerakan massa yang ekstrim seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Hizbullah di Lebanon atau pun yang lebih inklusif seperti beberapa partai Islam di Indonesia (PKB, PPP, PAN) dan Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AKP) yang tidak memperjuangkan penubuhan Negara Islam; dan
* PAS masih mengetepikan aspirasi majoriti rakyat Malaysia yang dahagakan demokrasi, keadilan dan kebebasan dengan terus berperang mulut dan saling tuduh-menuduh dengan parti UMNO atas isu agama semata-mata mahu meyakinkan 60 peratus rakyat Malaysia – Melayu/Islam – bahawa satu daripadanya adalah wakil Tuhan dan juara Islam tulen.
Dalam konteks Islam yang dimaksudkan itu pula, ia masih berkisar soal hukum-hakam, halal-haram – fiqh – yang menyebabkan ramai orang, termasuk orang Islam sendiri yang menganggap Islam itu sebagai agama yang boleh dan yang tak boleh – walaupun sentiasa dicanangkan bahawa Islam itu serba lengkap dan sempurna sebagai addin – dan seterusnya menyempitkan istilah addin kerana ia hanya boleh dilihat secara tersurat dan tersirat sebagai hukum-hakam sahaja.
Kedua-dua PAS dan UMNO, serta institusi dan agensi di sekelilingnya – universiti, kolej, think tank, pertubuhan NGO dan sebagainya – tetap terperap dalam kolompok yang sekadar mahu bercerita tetang hukum lahiriah tanpa sebarang perbincangan atau wacana lebih terbuka; malah seminar-seminar bukan akademik pun tidak pernah menjejak kepada bidang-bidang falsafah, sains, ilmu hisab dan cabang-cabang bukan fiqh – walaupun pada tahap perjumpaan popular.
Oleh itu, tidak ada apa yang mengejutkan dengan keputusan pemilihan PAS baru-baru ini; dan pasti tidak wujud fenomena progresif atau liberal dalam suasana sedemikian. Mungkin ada kejujurannya apabila Timbalan Presiden PAS yang baru dipilih, Nasharudin Mat Isa (bekas Setiausaha Agung PAS – jawatan lantikan Presiden/AJK Pusat) apabila beliau menyatakan bahawa pemilihan parti baru-baru ini bukan pertandingan di antara ulamak dan bukan ulamak tetapi semata-mata pertembungan antara generasi.
Namun, melihat kepimpinan semasa PAS tidak harus dari kaca mata pesimis semata-mata. Memang ada sedikit sebanyak perubahan yang dapat mengurangkan ketegangan politik negara. Contohnya, jika dilihat pengisian jawatan – yang dipilih oleh perwakilan dan yang dilantik oleh Presiden/AJK Pusat – ia menampakkan sedikit perubahan apabila hampir separuh dari mereka bukan dari kumpulan ulamak. Walaupun tidak ada kena-mengena dengan apa-apa perubahan atau reformasi dalam parti, usia muka-muka baru itu juga agak muda berbanding dengan barisan kepimpinan sebelumnya.
Oleh kerana tidak akan berlaku sebarang anjakan ideologi – PAS akan tetap ortodoks dengan pegangan dan kefahaman anti-kebebasan yang diasaskan kepada fiqh tradisi – apa yang boleh ditimbulkan sebagai persoalan adalah: ke arah mana PAS akan tuju? Persoalan ini memang wajar dikemukakan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dengan mengetepikan faktor bahawa PAS tidak akan menjadi parti yang berjuang untuk kebebasan rakyat dan individu, tidak peduli dengan hak-hak peribadi insan dan akan terus anti-Barat dan anti-sekularisme (tanpa pemimpin dan ahlinya memahami dan mendalami erti dan maksud nilai-nilai itu), boleh dibawakan hujah bahawa PAS mampu kembali matang berpolitik setelah sekian lama terjebak dengan perlambangan kepimpinan ulamak hasil tiruan Revolusi Iran 1979, jika ia mahu berbuat demikian. Sementara rakyat Iran masih terus ditekan di bawah pemerintahan kuku besi Majlis Waris yang mengawal ratusan ribu pengawal revolusi (termasuk polis agama dan polis rahsia), struktur politik yang diciplak dari badan ulamak Syiah moden itu (ciptaan tahun 1980-an) tidak banyak memberi sumbangan positif kepada PAS kecuali menguburkan kerjaya politik pemimpin veterannya Datuk Asri Haji Muda (kemudian Tan Sri) serta pemimpin-pemimpin lain sepanjang 1980-an.
Proses penjulapan itu yang banyak menyingkirkan dan membunuh kerjaya pemimpin veteran PAS akhirnya membuka jalan kepada pemimpin lain yang berkelulusan agama untuk mengambil alih tampuk kekuasaan. Dan ini tidak berlaku dalam vakum politik kerana, sebagaimana gerakan massa lain, emosi dan kegilaan agama atau ideologi dengan mudah mendapat sokongan rakyat – lihat revolusi Perancis, revolusi Rusia di mana wira pada awalnya telah menjadi musuh rakyat – dan kepakaran dan pengalaman politik pemimpin veteran PAS pimpinan Asri lenyap ditelan arah aliran radikalisme Islam 1990-an.
Sehinggakan pimpinan PAS era 1990-an akur dengan usaha memuaskan meluaskan lagi kuasa ulamak – yang sudah pun setara kedudukannya dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dengan adanya Dewan Ulamak — apabila pindaan perlembagaan parti dibuat pada 1993 untuk menubuhkan Majlis Syura Ulamak, di mana kepimpinan ulamak kini mempunyai kuasa untuk:
* Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya;
* Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS; dan
* Memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS dan melantik ahli-ahli jawsatankuasa tatatertib PAS.
Menurut pindaan pelembagaan itu, ahli-ahli Majlis Syura Ulamak yang seramai 15 orang itu harus daripada mereka yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-Usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukum atau dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada Al-Quran, Al Sunnah, ijma’ dan qiyas dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakin tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah seorang ahli PAS.
Butir-butir di atas dipetik dari kertas kerja allahyarham Datuk Fadzil Noor. Presiden PAS itu dipetik sebagai berkata, “Bagi kita ulamak bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya tetapi yang kita maksudkan ulamak ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias. Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka tetapi mereka juga mungkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keIslaman seperti yang berlaku di dalam sebahagian dari kepimpinan Islam di dunia sekarang ini.”
Setelah lebih satu dekad, proses mengulamakkan barisan kepimpinan PAS hanya tinggal impian kerana “insan sempurna” yang dicita-citakan itu gagal dilahirkan – hanya sekadar manusia biasa yang menjadi ahli politik yang bergelumang dengan perebutan kuasa, kompromi dan muslihat politik. Golongan ulamak PAS yang berkompromi dengan pimpinan parti yang mentadbir kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 dan Terengganu (1999 – 2004) didakwa bersubahat dengan pencurian balak dan pengumpulan kekayaan secara kotor dan keji.
Malah kedua-dua kerajaan negeri ini, sebagai kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional, tidak mengamalkan sistem telus – tender tertutup, pemberian kontrak pada kroni dan keluarga, sama ada layak atau tidak, pentadbiran awam lemah dan lembab, bandar dan pekan kotor dan tidak terjaga – dan tidak berasaskan pemilihan secara terbuka dan demokrasi. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, misalnya, pernah ditanya wartawan sama ada kerajaan negeri PAS bercadang mengemukakan usul kepada Kerajaan Pusat supaya meminda undang-undang bagi membolehkan pilihanraya tempatan (local council election) diadakan; jawab beliau: “Itu bukan keutamaan kerajaan negeri.”
Apa pun perubahan yang diharapkan PAS Kelantan dan Terengganu telah menunjukkan bahawa kepimpinan kerajaan negeri hanya sekadar mampu bersaing dengan kepimpinan Barisan Nasional di segi menonjolkan kelemahan pentadbiran awam dan kegagalan meningkatkan ekonomi negeri melalui galakan perniagaan secara terbuka. Apakah boleh berlaku perubahan sebenar untuk PAS?
Walaupun tidak ramai pemimpin dan ahli PAS akan mengakui hakikat ini, tindak-tanduk serta kempen, termasuk hasil keputusan pemilihan parti baru-baru ini, menunjukkan bahawa jika ada pun perubahan dalam parti, ia sedang menjurus ke arah mengubah strategi dan taktik – tanpa menyingkirkan ideologi Islamisnya.
Dengan itu, apa yang mungkin berlaku dalam masa dua tiga tahun ini adalah langkah suara-suara muda pimpinan PAS untuk mengetepikan suara ulamak yang selama ini dilihat sebagai penghalang proses politiking parti untuk meluaskan propaganda dan menarik sokongan rakyat. Malah, jika perlu, suara-suara muda ini akan cuba meyakinkan ulamak dalam PAS bahawa menggugurkan Dokumen Negara Islam tidak bererti menolak cita-cita Negara Islam kerana perlembagaan telah terserlah menyatakan panduan parti adalah Al-Quran dan Sunnah.
Ini mungkin boleh berlaku jika teori dari suara-suara sumbang di ruang-ruang awam mempunyai asasnya, iaitu bekas Naib Presiden Datuk Mustafa Ali yang kini “berehat” dari parti (sekadar menerima perlantikan sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu setelah menarik diri dari pemilihan pimpinan tinggi baru-baru ini) mungkin sedang mempersediakan diri sebagai Presiden menjelang pemilihan parti akan datang. Menurut teori ini, Presiden Datuk Abdul Hadi Awang akan dilantik sebagai Mursyidul Am menggantikan Nik Aziz yang semakin semput kesihatannya.
Yang mengukuhkan spekulasi strategi dan taktik kaum muda dalam pimpinan PAS ini adalah hubungan di antara Mustafa dan Abdul Hadi di mana Mustafa dikatakan satu-satunya pemimpin PAS yang diterima nasihatnya oleh Abdul Hadi. Jika Presiden dari aliran bukan ulamak ini dapat menasihati ulamak peneraju parti, mungkin PAS yang kehilangan arah setelah gagal mendapat sokongan hebat rakyat dalam pilihanraya umum 2004, dapat berfikir semua secara waras ke arah usaha memulihkan imej parti dan tarikan sokongan rakyat.
Jika ini berlaku, lengkaplah satu kitaran PAS sejak pemimpin dan ahli radikalnya menggulingkan Datuk Asri pada 1982, iaitu lebih 20 tahun kemudian, PAS sedang bertolak kembali ke lubuk. Yakni PAS kini kembali bijak berpolitik dan tidak terikat dengan Islamisme yang sememangnya mengongkong kreativiti pemimpin dan ahli.
Walaupun ada suara-suara kononnya PAS mampu kembali ke zaman kepimpinan intelek PAS allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmi, itu satu impian yang agak terlalu tinggi buat PAS hari ini. Dr Burhanuddin bukan sahaja seorang intelek, malah ahli politik yang tidak segan untuk berkongsi ketinggian ilmunya di ruang awam – sesuatu yang tidak wujud lagi di Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu kerana mutu percakapan dan perbahasan ahli politik telah teruk merosot kerana menganggap rakyat terlalu bodoh untuk memahami isu-isu dan bahasa-bahasa yang berat. Kini Dewan Rakyat dan Dewan Negara sering dipenuhi dengan perbahasan yang mutunya tidak jauh berbeza dari debat kedai kopi dan warung keropok lekor.
Yang lebih realistik adalah kemungkinan PAS kembali ke zaman keagungan Datuk Asri – pertengahan 1960-an hingga pertengahan 1970-an – di mana politiking menjadi wacana – tanpa mengorbankan Islam sebagai simbol perjuangan.
Persoalannya ialah beranikah kepimpinan PAS dalam masa dua tiga tahun ini secara terbuka menyatakan bahawa ia tidak lagi takut kepada istilah-istilah seperti kebebasan, sekularisme, hak peribadi, pasaran bebas dan apa-apa perkara yang berkaitan dengan kebebasan invididu dan hak asasi manusia. Jika sekadar melaungkan perkataan “demokrasi”, itu tidak memberi apa-apa makna kerana Korea Utara dan Cuba, di mana rakyat mereka masih dicabul dan diperkosa hak mereka oleh pemerintahan kuku besi, tetap tidak malu menganggap diri mereka negara demokrasi.
Namun, melihat kepada tindak-tanduk semasa kepimpinan PAS – mungkin masih terpinga-pinga dengan arah mana harus dituju – masih di takok lama dengan bermain isu-isu hak peribadi dan akhlak. Sama seperti UMNO dan konco-konconya yang menyalahgunakan tafsiran “sensitif” untuk menutup mulut pengkritik yang celupar dengan kegagalan sistem kuota yang lebih banyak melahirkan penipu dan perompak daripada ahli perniagaan yang jujur dan memahami pasaran bebas yang berasaskan permintaan dan penawaran, PAS juga berkubukan isu sensitif “Islam” untuk menyekat sebarang kritikan atau wacana mendalam mengenai agama dan kenyataan hidup.
Lagi pun, jika andaian bahawa Mustafa Ali sebagai bakal pemimpin PAS menggantikan Abdul Hadi dijadikan alasan wujudnya perubahan positif dalam politik semasa, perlu diingatkan bahawa Mustafa, sepertimana kebanyakan pemimpin PAS lain, masih menganggap bahawa budaya pop sebagai musuh moral anak muda Islam, segala kejahatan dunia berpunca dari Yahudi, lelaki dan perempuan tidak boleh bersama dalam apa jua keadaan, sama ada sewaktu menonton konsert atau di pawagam, atau di tilawah membawa Al-Quran, pakaian mesti sopan mengikut tafsiran pemimpin agama/politik Islam dan banyak lagi pandangan dan amalan peribadi yang mahu dipaksakan terhadap rakyat.
Walaupun PAS bukan satu-satunya badan yang berusaha keras mahu menjadi polis agama (kerana UMNO dan konco-konconya di jabatan dan majlis agama serta jabatan-jabatan kerajaan turut tergila-gila mahu menentukan saiz dan tinggi rendahnya skirt atau kain wanita), ia masih mencerminkan tahap pemikiran dan sejauh mana keterbukaan minda dan hati orang Islam/Melayu di Malaysia menerima perubahan yang membabitkan kebebasan, demokrasi dan keadilan.
JalanTelawi : Apa yang berubah dalam PAS?


