Oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi

Susur-galur, genealogy, Islam arus perdana dapat kita katakan hampir tidak terjejak sepenuhnya. Hubungan Islam dengan kekuasaan, sebagai contoh, dapat mengambil puluhan ribu halaman buku untuk dijelaskan. Suatu contoh mudah dan dekat: dalam sebuah negara yang kerajaannya mempunyai kuasa yang luas seperti Malaysia, faham agama rakyatnya dapat ditentukan oleh kerajaan BN menerusi jentera kekuasaan, seperti akhbar, TV, sukatan pelajaran, guru-guru agama yang dilatih di maktab-maktab perguruan kerajaan dan sebagainya. Maka Islam ala BN-lah yang menjadi Islam arus perdana.

Dalam suasana yang tidak demokratik perbincangan agamanya, aliran yang dominan akan menekan. Justeru, tidak menghairankan, berlaku “politik melupakan” dalam wacana keagamaan di mana-mana belahan dunia, ditandai kewujudan gerakan takfir (mengkafirkan mereka yang tidak sefahaman). Takfir—seiring fatwa murtad, munafik, label pro-Barat, pro-Amerika, dan lain-lain label yang hampir serupa—mempunyai fungsi psikologis dan tujuan politik agar sesuatu pandangan yang berlainan, alternatif, mencanggahi konvensi, tidak diperdebatkan sehingga ia terselindung dari pengetahuan umum. Sebaik terkena dakwa kafir atau munafik segala idea seseorang itu tidak akan diperdebatkan lagi, malah semua ideanya akan ditolak secara borong.

Senjata takfir ini begitu berkesan sehingga ia digunakan secara meluas sepanjang sejarah. Dalam sejarah Islam kita tahu senjata ini pernah digunakan sepanjang zaman sejak Al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Arabi, Al-Hallaj dan Ibnu Rusyd, membawa kepada Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida, sehingga kepada Farag Fouda, Taha Husayn dan Nasr Hamid Abu Zaid (juga Farish Noor di Malaysia). Dalam pengalaman Yahudi ahli falsafah Abu Musa al-Maimun (Maimonides) menjadi mangsa penganut serta ulama Yahudi dan dalam pengalaman Kristian Thomas Aquinas.

Menariknya, ada juga tokoh yang menjadi mangsa pada suatu zaman kemudian memangsakan pula orang lain, seperti Rashid Rida yang dituduh sesat oleh ulama sezaman kemudian mengkafirkan pula Ali Abdul Raziq sewaktu Rida telah mempunyai pengaruh dan kedudukan serta aliran salafi-modenis yang dipimpinnya menjadi dominan. Di Malaysia, sebelum merdeka, para mufti dan syeikhul Islam mengeluarkan sejumlah fatwa untuk mengesahkan Kaum Muda sebagai kafir atau sesat. Hari ini, pemikiran dan “Islam Kaum Muda” yang diterima pakai oleh majoriti Muslim Malaysia (PAS dan Umno). Ada juga keadaan di mana suatu pihak yang memangsakan orang lain kemudian menjadi mangsa.

Lalu terpenggallah beberapa nama dari ruang ingatan majoriti orang Islam. Sekaligus juga terbenam jauh segala buah pemikiran mereka yang mungkin saja dapat membawa manfaat besar kepada umat manusia. Buah pemikiran tokoh-tokoh ini sebaliknya dimanfaati oleh, antaranya, bangsa Eropah yang menyelamatkan buku-buku Ibnu Rusyd, mengkaji dan seterusnya membolehkan mereka mencapai kemajuan seperti yang kita lihat hari ini. Dalam konflik yang dihadapi dunia hari ini, termasuk kesulitan menyelesaikan isu-isu berkaitan hubungan sains dengan agama, dialog antara budaya, dan politik antarabangsa, sarjana Barat telah bersedia dengan kajian-kajian mereka terhadap pemikiran Ibnu Arabi.

Jangankan orang Islam yang banyak, penuntut dalam bidang keilmuan Islam juga malah dinafikan hak untuk meneliti perbahasan-perbahasan ‘ulama-ulama sesat’. Kerana itu jarang orang mendengar tentang gerakan tajdid, atau reformasi. Jauh sekali orang berpeluang mendengar bahwa gerakan sekularisasi juga bahkan pernah dilancarkan oleh ulama-ulama Islam yang tokoh-tokoh utamanya lahir dari Al-Azhar.

Islam tidak hanya berkembang di Afrika dan Arab. Di India juga pemikiran Islam berkembang, Tetapi, pernahkah kita mendengar nama-nama reformis Islam di benua itu seperti Syah Waliyullah Dehlavi (1703-1768) dan Sayyid Ahmad Khan (1817-1898)? Bahkan nama-nama reformis yang agak biasa didengar hanya Al-Aghani (1838-1897), ‘Abduh (1849-1905) dan Rida (1865-1935). Nama-nama lain seperti ‘Abbas Mahmud al-‘Aqqad (1889-1964), Qasim Amin (1856-1908), Ahmad Lutfi as-Sayyid (1872-1963) dan ‘Ali Abdul Razik (lahir 1888) amat jarang didengar, jauh sekali untuk kita ketahui buah fikiran mereka.

Dalam kes ‘Abduh, hanya sisi pemikiran beliau yang dibawa melalui Rashid Rida (salafi-modenis) sahaja yang sampai ke Malaysia. Perbahasan Abduh tentang akal, atau rasionalisme beliau yang ketara, yang dibawa oleh Mustafa Abdul Raziq (bekas rektor Al-Azhar, abang kepada Ali Abdul Raziq) tidak sampai kepada kita.

Seluruh reformis ini dapat dicirikan dengan seruan membuka semula pintu ijtihad yang telah seribu tahun tertutup, dengan kesediaan mujtahid untuk menggunakan akal budi dengan cemerlang. ‘Abduh menerangkan salah satu matlamat utama reformasinya: “Membebaskan pemikiran dari rantai taqlid dan memahami agama sebagaimana difahami mereka yang terdahulu; untuk kembali, dalam usaha mencapai pengetahuan agama, kepada sumbernya yang pertama, dan mengukurnya pada timbangan akal budi manusia…”

Pemikir Islam dari India Sayyid Ahmad Khan melukiskan dengan menarik hubungan akal budi dan agama (yang sumber utamanya adalah wahyu): “Sama ada manusia diciptakan untuk agama atau agama untuk manusia, dalam kedua-dua keadaan manusia harus memiliki ‘sesuatu’ yang tidak dimiliki makhluk lain, bagi menanggung tanggungjawab agama; ‘sesuatu’ itu ialah akal budi.” (Aziz Ahmad, Studies in Islamic Culture in the Indian Environment.)

Memang ada beberapa kelemahan yang harus diperhatikan dalam pemikiran para reformis. Sisi Abduh yang rasional dan liberal contohnya, dikritik kerana samar yang menyebabkan ia tidak dapat bertahan lama dan tewas kepada aliran konservatif. Kritik seperti yang diluncurkan oleh para sarjana, antaranya oleh Malcolm H. Kerr dalam buku Islamic reform—The Political an legal theories of Muhammad Abduh and Rashid Rida, itu wajar diperhatikan secara mendalam.

Warisan pemikiran Abduh yang agak plastik itu membenarkan perkembangan dua kutub pemikiran yang diwakili oleh Rida dan Ali Raziq. Namun, berbanding Rida dan aliran salafi-modenisnya, Raziq dan aliran sekular kurang popular.

Kerana itu amat penting untuk kita menjengah kembali sebahagian sejarah yang seolah-olah sengaja dipenggal, seolah-olah suapaya ia dilupakan. Kewujudan gerakan pencerahan atas nama Tanwiri Society (Enlightenment Society) di Mesir pada 1992, contohnya, perlu disemak semula. Pengetahuan tentang gerakan yang dianggotai ulama dan intelektual Mesir itu, yang relatif sangat dekat dengan kita tempohnya, boleh dikatakan tersembunyi dari pengetahuan masyarakat Islam, bahkan juga dari pengetahuan para cendekiawan.

Sumbangan para ulama-intelektual Mesir pada awal 1920-an yang terpencil dari pengetahuan kita ini sangat relevan dengan persoalan atau wacana moden. Malah dalam pandangan mereka sebenarnyalah terhidang begitu banyak pilihan buat kita merungkai permasalahan semasa. Sebagai contoh, pandangan Lutfi as-Sayyid dapat dipertimbangkan dalam mengarahkan sudut pandang kita terhadap peranan agama dalam pembentukan negara dan tamadun. Lutfi, antara ilmuan Mesir yang menerima rasionalisme ‘Abduh, antara lain menegaskan bahawa nasionalisme Islam, Uthmaniah atau Arab tidak realistik dan bersifat imperialistik. Baginya, gerakan yang mengajukan prinsip-prinsip berkenaan tidak akan berjaya kerana sebuah negara harus berasaskan “kepentingan bersama” dan bukan “sentimen bersama”. Bagi Lutfi, persoalannya bukan sekadar maju mundur masyarakat Islam tetapi maju mundur masyarakat Mesir; persoalan politik sebenar bukan mendekatkan Islam dengan dunia moden atau mengusir British dari Mesir, tetapi soal kebebasan yang seharusnya dimiliki rakyat. Tokoh ini juga menganggap kebebasam rakyat tidak dapat dipertahankan kecuali dalam sebuah negara yang mempunyai peranan yang terbatas (limited government) berasaskan perundangan yang dapat menggariskan hubungan moral antara pemerintah dan rakyat. (rujuk Aziz Ahmad).

Bahasa yang digunakan Lutfi adalah bahasanya kaum liberal Eropah, tidak berbeza jauh dengan Karl Popper, jagoan liberal awal abad ke-20 dari Vienna, yang menegaskan “state is a necessary evil: its powers are not to be multiplied beyond what is necessary.” Dengan mempertimbangkan liberalisme dan kapitalisme kita memasukkan suatu unsur baru dalam wacana Islam di Malaysia yang selama ini didominasi oleh pemikir dan agamawan yang cenderung kiri, yang lebih dipengaruhi sosialisme.

Dengan unsur baru ini kita berdaya untuk menimbang kemungkinan-kemungkinan kalau-kalau liberalisme lebih sesuai dengan semangat keadilan Islam serta penekanan yang agama ini berikan terhadap kemuliaan insan (karamah insaniyyah) serta jaminan keselamatan terhadap hak milik (harta) peribadi.

Perhatikan dalam sejarah politik Malaysia sendiri yang sepanjang jalannya penuh iktibar tentang obsesi manusia politik terhadap kuasa yang hampir tak terbatas sehingga menyebabkan terjadi pengabaian dalam menjamin hak asasi manusia. Bukankah saran liberalisme tentang limited government itu suatu yang tidak terlalu jauh dari jangkauan akal yang sihat? Dalam sebuah kerajaan yang kecil dan terhad bidang kuasa serta bidang tugasnya adalah sulit untuk terjadi pengulangan salah guna kuasa, penyelewengan wang rakyat, atau penindasan terhadap golongan minoriti. Sebuah kerajaan hanya berperanan memastikan kezaliman tidak berlaku serta hak, harta dan kebebasan rakyat dilindungi. (Menurut Frederic Bastiat dalam The Law, undang-undang [dalam sebuah kerajaan yang besar] diperguna sebagai alat untuk menjarah hak milik sebahagian anggota masyarakat, dalam bentuk berbagai cukai, untuk ‘membantu’ sebahagian anggota lain masyarakat ‘yang tidak bernasib baik’. Di sebalik semua ini ialah false philantrophy [kedermawanan songsang], kerana kedermawanan yang dipaksakan bukanlah kedermawanan.)

Kerajaan yang kecil dapat mengurangkan pembaziran dan penyelewangan (kerana tugas membangunkan negara tidak diletakkan di tangan kerajaan yang dapat membuka peluang perniagaan untuk kroni-kroni anggotanya); kuasa ekonomi dikembalikan kepada rakyat; media massa tidak lagi dapat dihakmilikkan kerajaan; pilihan lebih terbuka untuk sistem pendidikan, dengan galakan diberi ke arah pembukaan sekolah-sekolah swasta; dan sebagainya.

Semua yang disebutkan dalam perenggan di atas ini telah dihuraikan secara bertenaga dan terperinci dalam karya-karya tokoh liberal terutama oleh F.A Hayek, J.S Mill, John Locke, Frederic Bastiat, Ludwig von Misses dan Karl Popper. Idea sebahagian para tokoh ini berkemungkinan besar telah ditelaah oleh pemikir-pemikir seperti Qasim Amin, Lutfi dan kalangan Tanwiri Society (yang antaranya dianggotai oleh pejuang demokrasi terkenal Mesir Saad ed-Din Ibrahim).

Demikian juga masyarakat Islam tidak terdedah dengan perbahasan tentang tasawuf, terutama wacana sufisme yang telah tumbuh subur di tangan Ibnu Arabi. Pemikiran tokoh agung sufi ini, yang hidup berselisih zaman dengan ahli falsafah Ibnu Rushd, terlebih diperlukan dalam global-village hari ini—zaman di mana interaksi yang lebih dekat antara satu budaya dengan budaya yang lain menuntut pandangan yang lebih inklusif. Penganut agama Islam tidak lagi mampu melihat non-Muslim dalam konteks Kita-Mereka. Perspektif yang diguna-pakai pada hari ini ternyata mengundang masalah dalam interaksi antara penganut agama yang berlainan. Faham agama atau “bangsa terpilih” juga gagal menjelaskan persoalan tentang keadilan dan sifat rahmat Tuhan. Dalam hal ini tidak ada jawapan yang lebih memuaskan hati berbanding apa yang ditawarkan oleh sufisme, terutama penyelesaian yang dikemukakan Ibnu Arabi dalam kitab-kitab Fusus al-Hikam dan Futuhat Makkiyyah. Menurut Reza Shah Kazemi, salah seorang pakar tentang Ibnu Arabi, metafizik Ibnu Arabi dapat dianggap pencegah paling sempurna dan berkesan bagi penyakit fanatik—dapatan yang wajar saja mendatangkan kelegaan di tengah fenomena terorisme hari ini.

Pembongkaran semula nama-nama (dan bersamaan itu idea-idea yang dibawa mereka) yang terbenam jauh dari pengetahuan masyarakat Islam hari ini mungkin saja membuka ruang kepada sebuah rekonstruksi. Aliran-aliran pemikiran yang rencam yang mengisi jalannya sejarah itu pula dapat pula menuntut sebuah sintesis yang jernih dan tanpa prasangka terutama apabila kebaikan itu dapat saja datang dari Barat dan Timur. Apatahlagi dengan memandang sejarah itu kita akan dapati bahawa tidak harus ada garis yang terlalu memisahkan Timur-Barat. Musim bergulir, tamadun beralih dari satu kutub ke kutub lain, dari satu bangsa ke bangsa lain—pinjam-meminjam dan bimbing-membimbing satu sama lain.

Semoga tak terlalu tinggi harapan agar negara Malaysia ini juga mampu memiliki sejarah Tanwiri tersendiri.

Jalan Telawi : Politik lupa