Oleh Reformis 74

Perubahan kepimpinan Pas baru–baru ini, yang menyaksikan golongan yang digelar muda/profesional/reformis mengundang respons pelbagai dari rakyat Malaysia. Rata–rata menyambut baik perubahan ini, dengan bermacam–macam bentuk harapan. Bagi sebilangan ahli Pas sendiri, mereka mahu melihat kepimpinan yang lebih progresif, yakni yang memahami agama tetapi tidak berperanan sebagai pengajar agama sepanjang masa, serta lebih sedar dengan realiti kehidupan sebahagian besar rakyat Malaysia. Tetapi soalnya, sejauh manakah golongan baru ini mampu dan memiliki kekuatan politik untuk melaksanakan perubahan yang diharapkan? Adakah mereka memiliki semangat dan pemahaman tentang perubahan yang diimpikan itu?

Muda lwn Tua? Reformis lwn Konservatif? Profesional lwn Ulama?

Beberapa pembahagian kumpulan yang dilihat bertentangan ini dapat diperhatikan di media. Tetapi, kadang–kala, pembahagian itu kelihatan tidak tepat, menyeleweng dan simplistik. Ada yang membahagikan kepada golongan muda (young turks) menentang golongan tua, kelompok reformis melawan kelompok konservatif dan juga profesional lawan ulama. Ramai yang tersilap dan menganggap garisan–garisan ini telah siap dan jelas, sedangkan hakikatnya, realiti hal ehwal dalaman Pas lebih sukar untuk difahami dari yang diberitakan di media.

Satu soalan terpenting ialah benarkah kumpulan (atau lebih tepat lagi, individu–individu) yang menang itu, dan juga yang baru dilantik (bukan sahaja timbalan dan naib presiden tetapi juga di perinkat lain), akan berusaha membawa perubahan? Mungkinkah ada yang sekadar menumpang kenderaan yang sama sedangkan agenda perubahan langsung tidak dikongsi? Bukan sedikit yang berpendapat beberapa tokoh yang menang merupakan sebahagian kelompok elit (dan ini dapat diperhatikan melalui senarai kelulusan dan pencapaian yang pernah dipamerkan oleh Harakah) yang sukar untuk memahami realiti rakyat biasa. Mereka didakwa lebih senang berperanan sebagai politikus, menjalankan tugas PR (seperti beramah mesra dengan wartawan terkenal, hadir ke forum awam dan majlis makan malam mahal di hotel–hotel terkemuka) dari turun melihat penderitaan rakyat tertindas dengan ikhlas, dan bukan dengan tujuan menyerahkan cek bersaiz besar.

Tugas yang menanti golongan baru ini sangat besar. Sekiranya mereka gagal membawa inisiatif pembaharuan, kecaman yang bakal mereka terima akan lebih keras dan lebih tidak setimpal dari pujian yang mereka terima hari ini. Pilihan raya presiden di Iran baru–baru ini menunjukkan satu contoh yang wajar dilihat dengan cermat. Rakyat miskin, dan juga kumpulan–kumpulan lain dalam masyarakat yang penat menanti janji pembaharuan mengalihkan sokongan kepada golongan konservatif. Pemimpin–pemimpin baru dalam Pas perlu menangani hal ini dengan bersungguh–sungguh, dengan mengotakan janji perubahan yang menjadi faktor penting sokongan perwakilan. Tetapi, walaupun kumpulan pemimpin muda ini (yang termasuk Husam Musa, Nasharuddin Mat Isa dan Kamarudin Jaffar) mungkin ingin membawa perubahan, cukupkah kekuatan yang ada pada mereka? Penulis Khalid Jaafar mengemukakan harapan dan kebimbangannya tentang hal ini dalam satu tulisannya. Beliau berharap tokoh muda dalam Pas “bukan keseorangan atau hanya mewakili kelompok kecil yang tidak berpengaruh dalam Pas.”

Satu soalan yang perlu ditanya oleh orang muda dalam Pas ialah benarkah golongan muda dalam parti itu menjiwai semangat orang muda? Ini sebenarnya telah ditunjukkan melalui tindakan dan sikap beberapa orang pemimpin muda dalam Pas. Orang muda juga ramai yang berpandangan konservatif. Kenyataan pemimpin seperti Mazlan Aliman, Salahuddin Ayub dan Idris Ahmad mendedahkan sikap sebenar mereka, sedangkan mereka ini mudah untuk dianggap sebagai sebahagian golongan muda yang dahagakan perubahan. Diperhatikan melalui kenyataan mereka di demonstrasi menentang konsert, menentang Amerika dan sebagainya yang dilaporkan akhbar parti Harakah, tidak nampak beza mereka dengan ulama tua yang mereka dakwa jumud semakin kurang relevan dengan politik hari ini. Ahli Pas yang mahukan perubahan perlu berhati–hati agar tidak diperdaya mereka yang mendakwa mewakili semangat muda ini tetapi bertindak sebaliknya.

Pas yang lebih Malaysia?

Satu perkara yang diletakkan oleh presiden Pas, Abdul Hadi Awang sebagai satu agenda penting selepas muktamar terbaru ialah mempebaiki hubungan dengan semua pihak, semua rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama. Timbalan presiden Nasharudin Mat Isa pula mendakwa Pas mampu menjadi wadah untuk semua. Ini juga satu perkara yang wajib melalui pemeriksaan rapi. Pas hakikatnya masih sebuah parti Melayu beragama Islam. Sekurang–kurangnya, inilah realiti Pas di peringkat akar-umbi dan inilah yang ada di dalam kepala sebahagian besar pemimpin Pas, dan sebahagian besar pemimpin Pas, termasuk dalam jawatankuasa pusat adalah golongan ulama yang agak jauh dan kurang berinteraksi atau mengambil tahu hal ehwal di luar kehidupan masyarakat Melayu. Pas masih sibuk menangani isu seperti sambutan Valentine’s Day yang didakwa haram (dan cerita yang menjadi sebab haram ini pula ada banyak versi) dan mengecam Islam Hadhari dalam roadshow seluruh negara. Tindakan–tindakan seperti ini menimbulkan keresahan masyarakat majmuk Malaysia, terutama yang hanya mengenali Pas melalui laporan media tentang isu tersebut.

Satu contoh utama kegagalan Pas menangani isu masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia ialah dokumen negara Islam yang dikeluarkan beberapa tahun lalu. Kegagalan itu telah memburukkan lagi perpecahan di kalangan rakyat Malaysia, antaranya kerana kaitan terus “negara Islam” dengan “undang–undang Islam” yang disebut dalam dokumen itu. Idea–idea di dalamnya juga gagal dipertahankan oleh Haron Din, ketua penerangan ketika itu yang juga pengarang dokumen tersebut. Pas tidak pernah menyedari negara Islam yang diperjuangkanya adalah satu idea separuh masak, tidak ubah seperti Islam Hadhari yang dikecam sepanjang masa itu. Bagaimanapun, perlantikan ketua penerangan baru, Ustaz Ahmad Awang yang lebih progresif (dan disebut juga sebagai kenalan rapat Anwar Ibrahim), mungkin memberi sedikit harapan ke arah perubahan.

Terbaru, pemimpin Pas menegaskan pula demonstrasi menentang konsert seperti yang sering dilakukan oleh Pemuda Pas selama ini elok diteruskan, sepertimana dilakukan selama ini. Kenyataan ini dikeluarkan pada masa sama harapan untuk bekerjasama dengan semua kaum disuarakan. Yang mana satu pendirian Pas? Tidakkah Pas melihat kontradiksi ini; cuba mendekati masyarakat berbilang kaum Malaysia sedang pada masa sama menentang aktiviti yang ingin dinikmati sebilangan rakyat Malaysia bukan Islam? Berdasarkan sejarah, rancangan Pas berbaik–baik dan menarik sokongan masyrakat bukan Islam tidak pernah berjaya. Rancangan “negara Islam” sering diutamakan dari hal–hal lain. Tetapi, memandangkan kekalahan teruk dalam pilihan raya umum yang lalu, mungkin Pas akan berusaha lebih untuk memulihkan hubungan dengan rakyat Malaysai bukan Islam. Tetapi bolehkah usaha ini dilakukan tanpa kerjasama DAP?

Pas dan pencerahan

Apapun yang disuarakan oleh Pas, termasuk golongan muda/reformis/profesional dalam parti itu, politik kepartian masih menguasai politik Malaysia. Pas sama sekali tidak dapat mengecualikan dirinya dari realiti ini. Laporan akhbar parti mereka mendedahkan sebenarnya, Pas akan terus mengecam pihak lain yang tidak sehaluan dengannya. Tidak dapat pula diperhatikan sebarang tanda perubahan ke arah yang lebih positif. Politik holier than thou masih menjadi pegangan Pas. Pas tidak pernah mendidik ahlinya berfikir dengan kritis, mungkin kerana pemimpin mereka tidak mahu ahli yang kritis, yang akan mengkritik mereka dan mengancam kedudukan mereka di kerusi kepimpinan.

Dari apa yang dapat diperhatikan, Pas masih tidak mampu mendepani atau pun menyertai proses pencerahan negara ini. Kepimpinan Pas masih bercakap dalam bahasa guru agama, mengharamkan apa yang tidak disukai, menyuruh rakyat membuat apa yang mereka rasa perlu untuk “agama,” malah mengajar bagaimana berfikir. Sebelum ini pun, Pas sering mempersalahkan rakyat, terutama yang beragama Islam kerana tidak mengundi mereka. Kononnya, mereka yang tidak mengundi Pas ini tidak cukup agama, tidak memahami tanggungjawab sebagai orang Islam dan berfahaman sekular, yakni memisahkan agama dengan politik. Adakah tahap pemahaman agama seseorang Islam itu diukur dengan undi mereka untuk Pas? Dalam hal ini, elok sekali disokong kenyataan Hanipa Maidin yang menggesa pemimpin Pas meneruskan engagement dengan semua pihak, dan seruan Shahnon Ahmad supaya ahli Pas banyak membaca dan meningkatkan ilmu. Jarang sekali pemimpin Pas akan menyuarakan hal seperti ini, dan mengakui kebanyakan ahli Pas tidak cukup ilmu.

Melalui ceramah juga dapat diperhatikan gejala ini dalam Pas. Isi ceramah jarang sekali menyumbang kepada pencerahan minda rakyat. Ceramah hanya digunakan untuk mengecam lawan dan membenakan tindakan Pas. Dalam hal ini, Pas sendiri menyumbang kepada gejala minda malas rakyat, walaupun semasa membicarakan kawalan Umno terhadap universiti, Pas nampak seperti pejuang utama pencerahan minda rakyat Malaysia. Dalam hal ini, Pas mesti berani berdepan cabaran ini. Pemimpin–pemimpinnya mesti berani menerima kitikan dari ahli, dan membenarkan kritikan ini disiarkan dalam akhbar Harakah sendiri.

Kesimpulannya, perubahan tidak berlaku hanya dengan perubahan beberapa pemimpin, dan tafsiran perubahan setiap pemimpin juga berbeza. Bacaan yang salah akan menghasilkan keputusan yang salah. Pas pernah tersilap baca sebelum ini, apabila menyangka sokongan penyokong reformasi pada pilihan raya 1999 sebagai sokongan untuk negara Islam. Perubahan memerlukan asas pemikiran. Perubahan ke arah pencerahan ini memerlukan lebih dari sekadar perubahan rupa kepimpinan, atau rebranding. Soalnya sekarang, bersediakan Pas membenarkan kepelbagaian pemikiran dalam parti? Bersediakah Pas mentarbiyah ahli memajukan pemikiran mereka?

jalantelawi.com : Reformasi PAS?