[Astora Jabat dan musuh-musuh beliau yang, antaranya, menggelar beliau “jebon” mengandung sederet persoalan. Ada faktor dan pemikiran tertentu yang melatari label dan maki-makian sebegini, terhadap peribadi-peribadi kontroversi seumpama Astora, yang dapat pula diterima begitu saja oleh khalayak (adakalanya sambil ketawa dan dengan bersahut Allahu Akbar!). Al-Mustaqeem Mahmod Radhi cuba melihat label seumpama “Astora Jebon” dan persoalan yang timbul darinya melalui dua rencana, “Ustaz pop” dan “Politik lupa”, sambil menyarankan pemberdayaan akal dan Tanwiri (Pencerahan) sebagai pemecah persoalan.]

Oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi

Ceramah yang satu ini bukan khutbah politik yang dijeritkan dalam pesta demokrasi di tengah sawah yang kering selepas musim menuai padi di Kedah. Ia adalah khutbah agama di sebuah surau di pinggir Kuala Lumpur, di Damansara Damai, yang dirakam dalam bentuk VCD dan diedarkan sampai ke mana-mana. Selain menyebut “Astora Jebon” dan “jebon tua”, dalam program yang diadakan sekitar bulan Januari 2005 itu (ustaz?) Shahrir Long, dalam konteks yang jelas merujuk kepada penulis Astora Jabat, sambil mengkafirkan penulis itu kerana tulisan dalam Utusan Malaysia berjudul “Tsunami, jangan fitnah Tuhan”, turut menyebut, “Astora Jabat profesor mangkuk hayun, dajjal… babi pun tak apa dia tu!”

Kontroversi yang Astora selalu timbulkan tidaklah sehangat mana berbanding kontroversi dalam bidang sains Al-Quran (Ulum Al-Quran) yang ditimbulkan Nasr Hamid Abu Zaid, ulama Al-Azhar yang menghafal Al-Quran pada tahun kedelapan usianya. Dalam kes Nasr Hamid dia sampai difatwa murtad dan terpaksa lari keluar Mesir. Tetapi, Astora—yang sering hanya berlegar dalam persoalan fekah—dalam kemampuan pemikiran agama Muslim Malaysia sudah tak tertanggung kesesatannya. Piawai pemikiran yang sama juga dalam zaman pra-Merdeka dahulu merupakan musuh yang tangguh bagi Kaum Muda yang juga banyak terlibat dalam perbahasan kefekahan.

Yang disebutkan awal tadi hanya satu petikan daripada sekian banyak petikan lain yang dapat menggambarkan ‘kesakitan’ khutbah dan ‘kesakitan’ mereka yang bersedia menelan khutbah sedemikian. Tema utama yang disentuh Shahrir—seorang penceramah agama terkenal dari Kedah—dalam ceramah tersebut ialah Tsunami sebagai bencana Allah ke atas manusia yang banyak melakukan maksiat. Bagi Shahrir, tidak ada penjelasan mengapa Pulau Pinang yang lebih dekat dengan Aceh petakanya kurang teruk berbanding syurga pelancong Phuket.

Selain itu, khutbah Shahrir juga tidak jauh berbeda dengan khutbah di tempat lain yang menggambarkan kedangkalan pemikiran dan eksklusivisme. Klise yang diulang-ulang seawal detik Tsunami turut diulang Shahrir: “Di Tanjung Bungah tu, Masjid Tanjung Bungah, Tsunami tu dah datang dah, punya laju, tapi oleh kerana masjid dia elak, dia tukar gear, dia elak ke tepi, dia langgar apa? Tokong Cina, berkecai tokong Cina tu. Kerana apa? Kerana tokong Cina tu tak sembahyang Zohor. Patutnya Tsunami ni datang Batu Cave, baru betul…”

Pengucapan yang menghina agama lain sebegini sebenar-benarnya bukan rahsia. Khutbah agama, dalam upacara keagamaan yang umum, adalah bukti. Saya masih ingat khutbah Aidil Fitri di sebuah masjid di Alor Setar, pada tahun 2003, yang bagi saya tidak lain merupakan seruan ke arah kebencian—penegasan bahawa Yahudi dan Nasrani adalah musuh Islam, sempena serangan Amerika ke atas Iraq. Paradoks yang terang benderang: “Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam dan agama perdamaian” vs “perangilah orang kafir.” Salah satu ungkapan boleh berada di pembukaan khutbah manakala satu lagi berada di akhir khutbah. (Kemudian saya mendapat tahu, rupa-rupanya, pada tahun 2003 itu, khutbah raya tidak saja songsang di Kedah, malah juga di Melaka dan hampir seluruh Malaysia, berikutan sentimen anti-Amerika).

Tidak terelak, pemikiran keagamaan masyarakat secara umum dibentuk oleh ceramah-ceramah yang menyumbati setiap ruang masjid, surau dan perhimpunan politik. Ceramah agama malah melimpah di media massa—stesen radio setiap negeri memperuntukkan slot untuk ceramah agama yang selalunya diisi oleh tokoh-tokoh agama masing-masing negeri dan akhbar-akhbar Melayu mempunyai ruang khusus untuk bahan keagamaan. Tidak cukup dengan itu, sejak era Islamisasi, ceramah-ceramah agama “pop” saban hari terbit di kaca TV. Masyarakat disumbat dengan faham agama yang seragam, uniform. Malah, hari ini, dengan Islam Hadhari, seruan keagamaan mendapat “makjun” baru. Wang rakyat, tidak kira rakyat beragama apa, di(salah)gunakan untuk mendidik pelajar Islam tentang agama Islam menurut fahaman kerajaan Umno-BN.

Islam yang satu wajah, yang hanya menurut faham ulama arus perdana ini tidak cukup membimbangkan. Malah, yang patut dibimbangkan juga bukannya program dan slot agama di stesen-stesen TV. Wacana Islam “kulit-kulitan” yang tampil bersesak-sesak ini tidak lain merupakan manifestasi dari sebuah perlumbaan.

Sejak sebelum merdeka telah wujud persaingan untuk menampilkan siapa lebih Islam. Komunis dan sosialis pun turut serta dalam persaingan ini. Di Indonesia Omar Said Tjokrominoto, pendiri Sarekat Islam, malah menulis buku “Islam dan Sosialisme” untuk membuktikan Islam dan sosialisme itu senyawa. Parti Komunis Malaya pula pernah menaja penubuhan parti Islam Partai Persatuan Islam (PAPERI). Pemimpin PAPERI bersusah payah menjustifikasikan perjuangan komunisme dan perjuangan bersenjata dengan menggunakan hujah agama. Perlumbaan ini berterusan dengan tertubuhnya PAS dan terus meningkat sehinggalah pillihanraya yang terakhir di Malaysia.

Untuk menambat dan meraih sokongan rakyat secara pantas, kaedah retorik lebih berkesan. Bayangkan, Asri Muda yang dikatakan paling kurang daya intelektualnya berbanding presiden PAS yang lain itu mempunyai pengaruh amat kuat, yang diraih terutamanya melalui kehebatan gaya bahasa pidato yang, diperikan Mohamad Sabu sebagai, “boleh memberhentikan burung yang terbang dan membekukan air yang lalu.”

Retorika politik yang gelojoh tidak menghasilkan kecuali kelaihan (mediocrity). Gejala kelaihan ini dapat dilihat saban hari dalam media-massa. Tak berapa minggu lalu akhbar-akhbar hingar tentang isu logo halal. Sedikit berpatah ke belakang sebelum itu, isu penangkapan oleh JAIS.

Makanan halal dan pencegahan maksiat telah lama jadi obsesi masyarakat Islam Malaysia. Obsesi ini adakalanya jadi bahan “lawak-ngeri”. Seorang rakan pernah menceritakan kepada saya bagaimana sewaktu dia dan pegawai-pegawai sekerja ditugaskan di luar negeri, rakan-rakannya sibuk bertanya tentang halal tidaknya daging yang dihidangkan oleh pihak hotel, ayamnya disembelih atau tidak. Rakan-rakannya tidak akan menjamah makanan tidak halal. Selepas kenyang mengisi perut dengan makanan yang halal, cerita sahabat saya itu, rakan-rakannya yang telah berkahwin dan beranak pinak itu akan lesap “mencari perempuan”, tinggal dia yang bujang dan tidak kisah soal “ayam sembelih” keseorangan.

Kelaihan akan diterima sebagai norma apatahlagi di celah-celah program ceramah atau motivasi agama yang saban hari disiarkan di TV, disampaikan oleh penceramah-penceramah yang fancy pakaiannya dan ranggi gaya cakapnya. Seorang-dua penceramah di TV ini begitu laju bicara sehingga kita pula tertanya-tanya: sempatkah dia berfikir sebelum bercakap? Ustaz dan ustazah pop yang selalu muncul di kaca TV ini jarang membuatkan penonton berfikir—mereka menghidangkan ‘kebenaran’ untuk ditelan oleh khalayak. Yang sering diperkatakan ialah hubungan suami-isteri, ibu-bapa dan anak, keruntuhan moral remaja dan dakwah “ringan-ringan” yang lain.

Ceramah pop ini mudah menimbulkan obsesi dalam soal maksiat dan moral. Dalam hal ini adalah lebih baik saya kutip tulisan Fathi Aris Omar yang menyentuh tentang “Maksiatisme” baru-baru ini di Malaysiakini.com: “Di garis horizontal masyarakat kita, ideologi ‘maksiatisme’ ditujukan khas kepada pelanggaran nilai atau amalan agama peribadi. Tetapi membiarkan jiran tetangga lapar, mengabaikan fakir miskin dan anak yatim, atau takut mengkritik kejahatan pemerintah tidak pernah dirumus sebagai sebahagian ‘maksiat’ yang wajib dihindari.” (¬¬Tiada Noktah, Malaysiakini, 21 Mac 2005)

Fathi menyebut “sebahagian maksiat yang wajib dihindari.” Bagi saya, lebih tepat ialah “maksiat yang paling utama dihindari”—justeru isu yang berada di atas dalam susun-atur keutamaan seperti rasuah dan kemiskinan patut lebih mendapat perhatian masyarakat berbanding Jeslina Hashim atau logo halal. (Hal keutamaan dan maslahah ini telah disentuh sejak lama, seusia sejarah perundangan Islam dan telah mendapat perhatian khusus ulama-ulama usul feqh, antaranya Imam As-Shatibi dan Najmuddin at-Taufi.)

Kerana kelaihan ini juga kejadian Tsunami itu tidak dapat ditanggapi secara saintifik. Jangankan memikirkan fenomena alam itu secara mendalam, ucapan sebahagian ustaz yang terbabit memperkatakan Tsunami itu menunjukkan mereka tidak peduli pun untuk mengutip fakta yang bertebaran di akhbar, buku atau internet. Golongan ini malah melihat orang yang berusaha memahami kekuasaan Tuhan secara lebih canggih—bersesuaian dengan seruan Al-Quran agar kita meneliti fenomena alam secara saintifik, menggunakan akal—sebagai tidak beriman dengan kekuasaan Allah.

Kelaihan sendiri tidak lain merupakan akibat daripada “self-imposed immaturity”, kebebalan yang disengajakan. Untuk itu tidak ada penawar selain “Pencerahan” yang, secara tradisi, wajib dimulai dengan seruan ke arah pemberdayaan akal. Seruan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangkap oleh minda orang ramai. Kelaihan telah mengambil sebahagian besar ruang dalam lanskap Malaysia. Malah, kelaihan sebenarnya yang membentuk sejarah Malaysia. Hal ini dapat disedari oleh siapa juga yang dengan jujur membaca sejarah.

Ekslusivisme berakar pada pandangan hidup yang dibentuk oleh tafsir keagamaan yang literalistik, dogmatik, dan ideologik, yang melihat dunia terbelah dua: Kita dan Mereka dalam pengertian Islam dan bukan-Islam serta benar dan batil yang mutlak. Kecuali beberapa kumpulan kecil yang mula lahir belakangan, Islamis Malaysia dalam sejarah hampir seluruh mereka menganuti Islam yang dogmatik dan ideologik. Majoriti mereka ‘anak-pinak’ Rashid Rida, Hassan al-Banna, Syed Qutb dan al-Maududi.

Tamadun tidak dapat dibina melalui ceramah motivasi awal pagi di kaca TV. Ia juga tak dapat dibina oleh peribadi-peribadi yang bertaqlid dengan “Forum Perdana” atau “Al-Kulliyyah”. Tamadun terbina atas daya hidup yang dipandu dengan daya fikir yang tinggi. Pencerahan atau Tanwiri harus segera diseru.

jalantelawi.com : Ustaz Pop